Friday, September 25, 2009

RENUNG-RENUNGKAN...


MELAYU...



MELAYU itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap bersantun
Bila mengampu bijak beralas tangan

MELAYU itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan diperut

Selalu pecah dimulut
Biar mati anak
Jangan mati adat


MELAYU di tanah semenanjung luas maknanya
Jawa itu MELAYU, Bugis itu MELAYU
Banjar juga disebut MELAYU
Minangkabau memang MELAYU
Keturunan Acheh adalah MELAYU
Jakun dan Sakai asli MELAYU
Arab dan Pakistani semua MELAYU
Mamak dan Malbari serap ke MELAYU
Malah Mualaf bertakrif MELAYU


Dalam sejarahnya
MELAYU itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan


MELAYU itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara


Malangnya MELAYU itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampong telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual


Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
MELAYU itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal university
Masih berdagang di rumah sendiri


Berkelahi cara MELAYU
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak


Watak MELAYU menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh di cari kelubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan Agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan


Berdamai cara MELAYU indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Madah diungkap sentiasa disahut
Tangan dihulur sentiasa bersambut
Luka pun tidaklah lagi berparut
Baiknya hati MELAYU itu tiada terbandingan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan
“Dagang lalu nasi ditanakkan,
Suami pulang lapar tak makan,
Kera dihutan disusukan,
Anak dipangkuan mati kebuluran”


Bagaimanakah MELAYU di abad dua puluh Satu
Masihkah tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang melanggar kemajuan
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin pada kebenaran
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya pada keadilan


Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di Negara merdeka


Petikan : Dato’ Dr Usman Awang